Selamat menyambut Tahun Baru Maal Hijrah 1430
Written by zaki on December 29, 2008.
Mungkin tidak terlewat bagi saya mengucapkan kepada saudara dan saudari selamat menyambut maal hijrah iaini tahun baru islam 1430 hijrah. Malam ini selepas waktu magrib merupakan hari pertama dalam tahun baru 1430 hijrah Dalam Kalender Islam. Menurut kebiasaannya, sebelum solat magrib imam dan makmum akan membaca doa akhir tahun dan selepas solat magrib pula doa awal tahun akan dibacakan. Selepas itu mungkin akan diadakan sedikit ceramah tentang maal hijrah atau pun tahlil & kenduri kesyukuran diadakan. Ini adalah perkara yang biasa diadakan di masjid-masjid atau pun surau-surau negara kita.
DOA AKHIR TAHUN
Dengan nama Allah yang Amat Pemurah lagi Amat Penyayang, segala puji-pujian itu tertentu bagi Allah seru sekelian alam. Selawat dan salam ke atas penghulu sekelian Rasul dan atas keluarganya dan sahabatnya sekelian.
Ya Allah, apa yang telah kami lakukan sepanjang tahun ini dari apa yang Engkau tegahkan kami daripadanya, maka tidak sempat kami bertaubat darinya dan Engkau tidak meredhainya dan tidak Engkau melupainya dan Engkau berlemah lembut ke atas kami walaupun Engkau berkuasa atas menyiksakan kami, malah Engkau memberi peluang supaya kami bertaubat setelah kami melakukan maksiat ke atas Engkau, maka sesungguhnya kami memohon keampunan Engkau, maka ampunilah bagi kami dan apa yang kami lakukan padanya dari apa yang Engkau redhainya dan Engkau telah menjanjikan kami ganjaran pahala ke atasnya, maka kami memohon akan DiKau wahai Tuhan yang Mulia yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan, semoga Engkau menerima daripada kami dan janganlah Engkau memutuskan harapan kami daripada Engkau wahai Tuhan yang mulia.
Wahai Tuhan kami, telah kami lakukan kezaliman ke atas diri-diri kami dan sekiranya Engkau tidak mengampunkan kami dan mengasihani akan kami nescaya jadilah kami daripada golongan orang-orang yang rugi. Wahai Tuhan kami berikan kami kebaikan di dunia ini dan juga kebaikan di akhirat nanti, serta peliharakan kami akan azab api neraka.
DOA AWAL TAHUN
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, segala puji-pujian itu bagi Allah pentadbir sekelian alam. Selawat dan salam ke atas semulia-mulia Nabi dan Rasul iaitu penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w dan ke atas keluarganya dan para sahabatnya sekelian.
Ya Allah, Engkaulah yang Kekal, Qadim lagi Azali dan di atas kelebihan Engkau Yang Besar dan Kemurahan Engkau yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang sesungguhnya telah mendatangi kami, kami memohon kepada Engkau pemeliharaan padanya daripada syaitan yang direjam, pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan kami memohon pertolongan di atas nafsu yang banyak mendorong kepada kejahatan dan kami memohon kepada Engkau bagi melakukan sebarang pekerjaan yang boleh mendekatkan diri kami kepada Engkau.
Ya Allah, Tuhan yang mengubah segala keadaan, ubahkanlah keadaan kami kepada sebaik-baik keadaan dengan kekuasaan dan kekuatan Engkau wahai Tuhan yang mengerasi lagi Maha Tinggi. Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebahagiaan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab neraka.
Hari Awal Muharram atau Hari Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan salah satu peristiwa penting berlaku dalam sejarah Islam. iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Mekkah ke Madinah pada tahun 622 masihi. Ia juga merupakan hari cuti umum di kebanyakan negeri di Malaysia dan merupakan permulaan tahun hijrah bagi umat Islam.
Pernahkah anda lagu ini
1 Muharam detik permulaan
Perkiraan tahun Islam Hijrah
Perpindahan Nabi dan umat Islam
Dari Kota Mekah ke Kota Madinah
Atas keyakinan dan iman yang teguh
Kaum Muhajirin dan Ansar bersatu
Rela berkorban harta dan nyawa
Demi menegakkan Islam tercinta
Hijrah itu pengorbanan
Hijrah itu perjuangan
Hijrah itu persaudaraan
Hijrah membentuk perpaduan
Oleh itu, mari semua
Kita sambut Maal Hijrah
Tingkatkan semangat tegakkan syiar islam
Untuk sepanjang zaman
Untuk sepanjang zaman
Untuk sepanjang zaman…!!
Message lagu ini memng amat jelas sekali. Lagu ini masa zaman saya sekolah memang sering didengar di radio dan TV. Tapi sekarang ini jarang di mainkan walau pun ketika maal hijrah. Mungkin kerana melodinya agak ketinggalan.. sekarang ni zaman nasyid pop.. rap kot. Sayang sekali.
Lagu ini ringkas tapi padat dengan message…1 muharam merupakan satu detik permulaaan di mana Kaum muhajirin dari Mekah sanggup meninggalkan segala harta benda sanak saudara untuk bersama rasullulah berhijrah ke madinah. Manakala Kaum Ansar dari Madinah ini menerima mereka dengan hati terbuka. Malah sanggup berkorban.. memberikan tempat tinggal,makanan. Bagi yang tiada isteri pula diberikan isteri. Begitulah mulianya pengorbanan kaum muhajiran dan Ansar. mereka bersatu untuk menegakkan syiar Islam. Mereka merupakan satu contoh umat yang terbaik.
Tapi bagi kebanyakan umat Islam hari ini hanya menganggap ia hanyalah satu sejarah bukannya mengambil iktibar untuk untuk bersatu padu. Lihatlah apa yang berlaku di Palestin. Umat Islam dibunuh dengan sewenang-wenangnya oleh zionis Yahudi sedangkan seluruh umat islam diseluruh dunia tidak dapat berbuat apa-apa atau sebenarnya tak mau buat apa-apa. Pak-pak Arab yang kaya raya memerintah semenanjung pun tak berbuat apa-apa kerana sayangkan wang dollar Amerika yang mereka simpan di negara zionis. Semoga umat islam sedar dan bersatu padu demi menjamin kejahteraan sejagat.
Secara personalnya bagi saya hijrah itu adalah satu perpindahan dari sesuatu yang kurang baik kepada sesuatu yang lebih baik. atau pun sesuatu yang memang baik kepada sesuatu yang sangat-sangat baik. Contohnya kalau dulu kita kurang untuk bersedekah tahun ini pula kita tingkatkan sedekah kita. Atau pun tahun lepas kita kurang membuat kerja kebajikan maka tahun baru ini kita tingkatkan lagi kerja kebajikan yang kita buat. Itulah bagi saya adalah konsep hijrah yang sebenar yang perlu diterapkan. Tahun ini maal hijrah 1430 hampir sama tarikhnya dengan tahun baru 2009. Jadi ianya sepatutnya lebih meriah. 2 sambutan pada tarikh yang hampir. Tema maal hijrah tahun ini ialah “Menjana Ummah Gemilang”. Saya Harap agar ia mampu untuk meniup kembali semangat perjuangan seluruh umat islam untuk gemilang sebagaimana di zaman silam.
Semoga tahun baru ini menjanjikan sesuatu yang baik untuk kita semua.







Recent Comments